14.4.10

Isi Tersurat Dan Tersirat

Isi Tersurat.

Isi tersurat merupakan isi yang diperoleh daripada petikan berdasarkan unsur pertama dalam tugasan soalan.

Isi Tersirat.

Isi tersirat pula berdasarkan unsur kedua dalam soalan dan mestilah sesuai dengan kehendak tugasan soalan.



Panduan Menulis Isi Tersurat dan Tersirat

Setiap isi hendaklah ditulis dengan ayat yang sempurna dan lengkap.
Setiap ayat mesti mempunyai subjek dan predikat.

Contoh.
1. Kerajaan bertindak mengadakan pelbagai kempen kesedaran dalam kalangan
kakitangan.(√)
2. Kerajaan melaksanakan penggunaan e-mel dalam urusan pentadbiran.(√)

3. Penggunaan e-mel dalam urusan pentadbiran.(X)

4. Pelbagai kempen kesedaran dalam kalangan kakitangan.(X)


Isi tersurat tidak boleh bercampur aduk dengan isi tersirat. Jika isi tersirat ditulis dalam perenggan isi tersurat (bercampur aduk) dan isi tersirat itu betul maka 0 markah akan diberi kepada isi tersirat tersebut dan begitulah sebaliknya.

Contoh

Langkah-langkah meningkatkan penggunaan teknologi maklumat ialah kerajaan bertindak mengadakan pelbagai kempen kesedaran dalam kalangan kakitangan.(√) Halangannya pula ialah kempen kesedaran yang dijalankan tidak berkesan.(X)
Markah hanya untuk isi tersurat sahaja!

Kata Kunci

Permulaan ayat bagi setiap perenggan isi tersurat dan isi tersirat hendaklah didahului dengan pernyataan kata kunci atau ayat yang membawa maksud kata kunci tersebut.

Contoh

Permulaan isi tersurat

Antara langkah meningkatkan penggunaan teknologi maklumat ialah penubuhan Koridor Raya Multi Media.


Permulaan isi tersirat

Halangan yang timbul ialah kakitangan kerajaan tidak berani mencuba kemudahan teknologi maklumat.

Peringatan

Jika kata kunci soalan rumusan merupakan faktor-faktor dan kesan-kesan, maka setiap isi (tersurat dan tersirat) tidak boleh dijadikan sebagai cadangan. Oleh itu, kata bantu yang membawa maksud cadangan tidak boleh digunakan. Contoh: HARUS, MESTI, HENDAK, PATUT, PERLU, WAJAR

Contoh

Pihak kerajaan hendaklah menggalakkan penggunaan teknologi maklumat dalam kalangan kakitangannya. ( X )

Golongan belia mestilah menyahut seruan kerajaan untuk bekerja sebagai petani. ( X )

Penutup/ Kesimpulan

Kesimpulan rumusan karangan mestilah mempunyai 2 unsur iaitu:
Cadangan berdasarkan fokus soalan [1 m]
Akibat / kesan / harapan daripada
cadangan yang diberi [1m]

Format Kesimpulan

Kesimpulannya, ……..(Pihak berkaitan + Cadangan)….. supaya / agar ………. (Akibat / kesan)
Jangan lupa fokus soalan!

Contoh Kesimpulan
Kesimpulannya, semua pihak haruslah bekerjasama untuk memastikan kejayaan penggunaan teknologi maklumat dalam pentadbiran kerajaan supaya urusan pentadbiran kerajaan menjadi lebih cekap.


DALAM POST YANG AKAN DATANG SAYA AKAN MEMBINCANGKAN CARA-CARA MENJAWAB SOALAN PEMAHAMAN.

12.4.10

Cara-cara Menulis Rumusan

Rumusan Karangan adalah soalan 1. Calon perlu menghasilkan rumusan sebaik mungkin untuk mendapat markah yang baik. Setiap tahun banyak calon yang memperoleh markah penuh untuk soalan ini, namun tidak kurang juga calon yang memperoleh markah bawah 10markah. Dalam kalangan mereka yang lemah ini, dapat diperhatikan bahawa mereka menulis rumusan tanpa memahami format rumusan. Selain tidak dapat menyatakan isi-isi tersurat (isi yang terdapat dalam petikan), mereka juga gagal menyatakan isi tersirat serta gagal pula menulis penutup yang boleh memberikan markah. Setiap bahgaian dalam rumusan terdapat markah yang perlu diperoleh calon untuk mendapatkan markah penuh.



RUMUSAN KARANGAN

Markah : 30 markah
Isi : 20 markah
Bahasa : 10 markah



Isi Rumusan

Pendahuluan 2 markah
Isi Tersurat [6 isi] 12 markah
Isi Tersirat [2 isi] 4 markah
Penutup /Kesimpulan 2 markah
Jumlah 20 markah

Jumlah Isi Tersurat dan Isi Tersirat tidak melebihi 8 isi = 16 markah

Jumlah markah bahasa = 10 markah
Asas pemberian markah bahasa ialah separuh daripada markah isi.

Contoh:
Jika markah ISI 18 markah
BAHASA 9 markah

JUMLAH 27 markah


Pertimbangan dalam pemberian markah bahasa.

Bahasa yang kurang memuaskan boleh ditolak 1 markah.
Menyalin bulat-bulat daripada petikan, 0 markah.
Menulis dalam bentuk point form (catatan), ditolak 50 % daripada markah bahasa.

Jumlah Patah Perkataan

Jumlah patah perkataan sangat dititikberatkan dalam rumusan karangan. Jumlah perkataan tidak boleh melebihi 120 patah perkataan.
Jumlah patah perkataan yang lebih tidak akan diperiksa / dinilai.

Perkataan yang dikira sebagai satu perkataan.

Nama khas, contoh: Jalan Bukit Gambir
Perkataan berulang, contoh:
simpang-perenang
Penggunaan kata sendi `di’ dan `ke’
contoh: di samping itu, ke dalam, di dalam
Angka yang ditulis dengan nombor atau perkataan, contoh: 88, lapan puluh lapan

RUMUSAN KARANGAN

Contoh soalan

Baca petikan di bawah dengan teliti kemudian buat satu rumusan tentang langkah-langkah untuk meningkatkan penggunaan teknologi maklumat dalam kalangan kakitangan kerajaan dan halangan-halangannya.

Setiap soalan mempunyai 2 unsur.

Unsur Pertama – Isi Tersurat
1. Langkah-langkah meningkatkan penggunaan teknologi maklumat

Unsur Kedua – Isi Tersirat
2. Halangan-halangan untuk meningkatkan penggunaan teknologi maklumat


Panduan Menulis Pendahuluan Rumusan Karangan.

Pendahuluan rumusan karangan ditulis dengan menukarkan unsur pertama dengan perkataan yang sinonim/ sama maksud dengan unsur pertama itu.

Contoh pendahuluan.

Format pendahuluan:

Petikan membincangkan + (maksud/perkataan yang sinonim dengan kata kunci/unsur pertama)
Contoh:

Petikan membincangkan usaha-usaha untuk memaksimumkan penggunaan teknologi maklumat dalam kalangan kakitangan kerajaan.


Dalam post akan datang saya akan membincangkan cara-cara menulis isi tersurat dan tersirat.

23.3.10

Bahasa Melayu SPM

Asalamualaikum semua.



Hari ini saya ingin membincangkan format bahasa Melayu peringkat SPM secara umum.


1. Untuk lulus bahasa Melayu peringkat SPM maka calon perlu menduduki ujian lisan. Ujian Lisan dianggap sebagai kertas 3 dalam SPM. Jika calon tidak mengambil ujian ini bermakna calon akan dianggap tidak hadir peperiksaan. Oleh itu, untuk lulus calon perlu mengambil ujian lisan. Bagi calon sekolah tiada masalah kerana biasanya mereka akan diuji mengikut jadual. Manakala calon persendirian menghadapi pelbagai masalah. Ketika mendapat surat panggilan ujian, mungkin ujian itu sudah berlalu. Justeru, calon perlu menghubungi Jabatan Pelajaran negeri agar mereka boleh mengambil ujian. Tiada ujian maka tiada markah yang akan dihantar kepada Lembaga Peperiksaan.
Ada empat konstruk yang akan diuji dalam ujian lisan iaitu:
1. aspek pertama ialah tatabahasa dan kosa kata,
2. aspek kedua ialah sebutan, nada dan intonsai,
3.aspek ketiga ialah kefasihan
4. dan aspek yang keempat ialah ungkapan yang bermakna.
Calon perlu memahami kempat-empat aspek itu untuk mendapat markah yang baik. Setiap aspek memperuntukkan 10 markah. Maka markah penuh keseluruhan ialah 40 markah.
Bila lulus ujian lisan bermakna calon perlu pula menduduki peperiksaan bertulis.
Peperiksaan bertulis terbahagi kepada dua, iaitu:
Kertas 1
Kertas 1 ialah karangan. Dalam kertas ini dibahagikan kepada dua bahagian iaitu;
A. bahagian A karangan berpandu.
B. bahagian B ialah respons terbuka.
Dalam bahagian A, calon dikehendaki menulis karangan yang panjangnya 200 hingga 250 patah perkataan. Grafik, gambar atau carta yang dipaparkan dalam soalan bertindak sebagai panduan untuk menghasilkan karangan. Saya akan menghuraikan lebih lanjut dalam tulisan yang akan datang bagaimana menulis karangan untuk soalan ini.
Dalam bahagian B, calon akan diberikan 5 tajuk karangan. Pilih mana-mana tajuk dan hasilkanlah karangan yang panjangnya tidak kurang 350 patah perkataan. Jika karangan calon tidak mencapai 350 patah maka peluang calon untuk mendapat yang baik akan terjejas. Oleh itu, untuk mendapat markah yang baik maka calon perlu memastikan karangan mencapai 350 patah kata. Keseluruhannya, kertas 1 memperuntukkan 130 markah.
Kertas 2
Kertas 2 akan mengemukakan 4 soalan iaitu:
1. Soalan rumusan (Soalan 1)
2. soalan 2 terbahagi kepada 4 bahgain iaitu bahagian iaitu:
i. bahagian a, calon dikehendaki menjawab soalan pemahaman berdasarkan petikan rumusan dalam soalan 1.
ii. Dalam bahagian b, pemahaman yang dikemukakan berdasarkan cerpen dan drama yang dipelajari semasa tingkatan 4 dan 5.
iii. Soalan c berdasarkan prosa klasik
iv. soalan d biasanya berdasatrkan puisi (puisi tradisi dan moden)
3. Soalan tiga berkaitan dengan kemahiran bahasa. Soalan 3 pula terbahagi kepada lima iaitu:
i. bahagian a, calon dikehendaki membina 6 ayat berdasarkan perkataan yang diberikan.
ii. Soalan b pula, calon dikehendaki memisahkan ayat, menukarkan ayat aktif/ ayat pasif, menggabungkan ayat, menukarkan ayat ke cakap ajuk/cakap pindah dan sebagainya.
iii. Soalan c menghendaki calon mengesan kesalahan ejaan dan imbuhan,
iv. Soalan d, calon dikehendaki mengesan kesalahan tatabahasa dan istilah dan yang terakhir
v. iaitu soalan e calon akan menjawab soalan yang ada kaitan dengan peribahasa.
Soalan 4 adalah soalan yang ada kaitan dengan novel yang dipelajari semasa tingkatan 4 dan 5.
Kertas 2 ini memperuntukkan 110 markah. Ini bermakna markah keseluruhan untuk bahasa Melayu ialah 280 markah termasuk ujianb lisan.
Dalam post yang akan datang saya akan cuba menulis bagaimana menulis karangan bahagian A.
Sekian terima kasih.

10.3.10

Pentingnya Anda Lulus Dalam Peperiksaan.

Asalamualaikum semua.

Semoga anda ceria pada hari ini. Hargailah waktu yang anda ada. Saya ingin berkongsi pengalaman setelah lebih kurang 15 tahun mengajar bahasa Melayu di peringkat SPM dan STPM.

Di peringkat SPM, anda lulus bahasa Melayu bermakna anda lulus SPM. Anda gagal Bahasa Melayu maka gagallah SPM anda. Saya akan cuba mengisi blog ini dengan tulisan yang ada kaitan dengan bahasa dan cara-cara menjawab soalan bahasa Melayu di peringkat SPM.

Jadi nantikan tulisan saya yang seterusnya.